SENGIT! Pertembungan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dengan
Pengerusi BN Johor, Datuk Abdul Ghani pasti menjadi pertandingan tumpuan
bukan sahaja di kalangan masyarakat malah menjadi isu nasional dan
dunia pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Kedudukan Gelang Patah menjadi bualan ramai apabila bekas Ahli
Parlimen Ipoh Timur itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim selaku calon bagi kerusi Parlimen Gelang Patah pada sambutan
Ulang tahun DAP ke-47 di kawasan lapang berhampiran Sutera Mall, Skudai,
18 Mac lalu.
Keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) meletakkan
Kit Siang jelas membuktikan DAP, PKR dan Pas begitu bersungguh-sungguh
menawan Putrajaya.
Meskipun pemilihan veteran DAP itu seakan sudah dijangka oleh semua
ahli PR di Johor dan negara ini, namun ia merupakan perkara ‘luar
biasa’ buat masyarakat setempat khususnya di Gelang Patah.
Bagi penyokong tegar PR pula, mereka sudah tentu menyokong calon yang
ditonjolkan pucuk pimpinan malah yakin mampu memperoleh kemenangan
berdasarkan ketokohan Kit Siang selepas 47 tahun berkecimpung dalam
politik.
Melihat kepada percaturan dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PR,
Barisan Nasional (BN) juga tidak mahu ketinggalan meletakkan calon yang
kuat untuk berdepan dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang
Eng itu.
Tatkala jentera BN bagi kawasan Parlimen Gelang Patah berkeyakinan
Ketua MCA Bahagian Gelang Patah, Jason Teoh Siew Hock bakal dipilih
oleh pucuk pimpinan, secara tiba-tiba nama Abdul Ghani ‘naik’ sebagai
calon.
Nama bekas Adun Serom itu diumumkan selaku calon BN bagi Parlimen
Gelang Patah pada Majlis Pengumuman Calon BN Negeri Johor di Hotel M
Suites, di sini kelmarin.
Malah beliau (Abdul Ghani) sendiri menerima keputusan pucuk pimpinan
yang meletakkan dirinya bagi kerusi berkenaan dengan hati terbuka malah
mengakui sudah bersiap sedia memikul cabaran baru untuk berdepan Kit
Siang.
Bagaimanapun, keputusan pucuk pimpinan meletakkan Abdul Ghani
ternyata menimbulkan kekecewaan kepada penyokong tegar Jason Teoh yang
amat berharap calon ‘favourite’ mereka dipilih pada PRU13.
Sebelum Menteri Besar Johor itu diumumkan selaku calon Parlimen
Gelang Patah sekali pun, golongan berkenaan yang menggelar kumpulan
mereka sebagai Jawatankuasa Gerak Kerja Penyokong Teoh Siew Hock sudah
berhimpun, pada 14 April lalu.
Kumpulan ini secara sebulat suara bersedia untuk memberhentikan gerak
kerja jentera MCA bagi kerusi berkenaan sekali gus membubarkan
jawatankuasa itu serta merta.
Selain itu, kumpulan yang terdiri lebih 600 ahli itu juga melaungkan
persetujuan dan sokongan tidak berbelah bagi sekiranya Jason Teoh
bertanding atas tiket Bebas pada PRU13.
Berdasarkan kepada situasi berkenaan, boleh jadi Abdul Ghani sudah
hilang undi daripada kumpulan berkenaan yang hanya mahu melihat anak
tempatan (merujuk kepada Jason Teoh) bertanding kerusi Parlimen Gelang
Patah.
Rata-rata kumpulan berkenaan terdiri daripada pelbagai lapisan
masyarakat dan kaum; latar belakang; berbagai pertubuhan badan bukan
kerajaan (NGO) dan penduduk setempat.
Sekiranya ia benar berlaku, sudah tentu Pengerusi BN Johor ini tidak
berdepan laluan mudah untuk menentang Kit Siang pada PRU13 meskipun
memiliki kredibiliti selaku Menteri Besar selama empat penggal.
Kini timbul pula persoalan kerusi Parlimen Gelang Patah bakal menjadi
‘kubur’ buat Kit Siang seperti dilaungkan oleh ahli BN atau ‘kubur’
kepada Abdul Ghani yang akhirnya mencalarkan karier politik kedua-dua
pemimpin ini.
Walaupun Kit Siang enggan mengulas lanjut mengenai perletakan calon
bagi kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan BN, namun ia pasti memberikan
‘satu senyuman’ buat pemimpin DAP itu.
Diawal kehadiran pemimpin ‘otai’ itu ke negeri ini, Kit Siang
mengandaikan menerima sokongan lebih 60 peratus pengundi Cina buatnya,
namun ada yang melaporkan kedudukannya tergugat sebaik Abdul Ghani
dicalonkan. Dikatakan hanya 30 peratus pengundi Cina menyebelahi orang
kuat DAP itu. Benarkah?
Pengundi di situ, dikhabarkan beralih arah dan menyokong Abdul Ghani yang disifatkan senior dan ‘orang lama’ di Johor.
Namun kekecohan yang berlaku dalam BN, mengheret campur tangan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pantas meminta Jason
Teoh memainkan peranannya kerana mengandaikan pemilihan Menteri Besar
bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah tidak akan menjejaskan kempen
BN di kawasan itu.
Mengakui Jason Teoh seorang tokoh MCA yang baik dan mempunyai
pengaruh besar di Gelang Patah berharap pertarungan kerusi ‘panas’ itu
dapat dilihat pada konteks lebih luas malah memohon campur tangan Jason
menenteramkan penyokong di kawasan berkenaan dan menghormati pucuk
pimpinan.
Persoalannya, sejauh mana keterbukaan dan penerimaan
penyokong-penyokong Jason Teoh terhadap nasihat Muhyiddin yang mahu
mereka bersikap lebih ‘tenang’ seterusnya memberi sokongan kepada Abdul
Ghani?
Undi adalah rahsia! Jadi ke manakah undi mereka selepas ini berikutan
pemimpin disayangi mereka tidak dicalonkan meskipun sudah berbelas
tahun memperjuangkan nasib rakyat Gelang Patah?
Meskipun Jason sudah membuat kenyataan media bahawa akan akur dan
terima sebarang keputusan pucuk pimpinan sama ada tercalon atau tidak,
penyokongnya belum tentu akan bersikap reda dengan pemilihan pucuk
pimpinan.
Mahu tak mahu, pucuk pimpinan BN di peringkat pusat dan negeri
sendiri perlu bersama Jason untuk menenangkan suasana agar Abdul Ghani
tidak menerima impak negatif pada 5 Mei ini.
Segeralah bertindak dan ‘mengubati luka’ penyokong-penyokong Jason
khususnya masyarakat Cina yang sejak dahulu lagi bersama MCA Bahagian
Gelang Patah.
Mengikut rekod, Parlimen Gelang Patah memiliki 106,864 pengundi
terdiri daripada 34.2 peratus Melayu; 52.4 peratus Cina dan 12.5
peratus India dan 0.8 peratus lain-lain.
-sinarharian.com
0 comments:
Post a Comment